Friday, October 23, 2015

[GEMPAR HARI INI] 13 cawangan Umno tuntut Najib undur

CELAH GELEGAR
[GEMPAR HARI INI] 13 cawangan Umno tuntut Najib undur

Tiga belas ketua Umno cawangan dari Telok Kemang, Negeri Sembilan hari ini mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan menggesa beliau meletakkan jawatan sebagai presiden bagi memulihkan kredibiliti parti itu sebelum pilihan raya umum akan datang.

Di bawah pimpinan ketua Umno cawangan dari Taman TKK, Kamarul Aznan Habibur Rahman, mereka berkata, tiba masanya parti itu melakukan perubahan dan ia perlu bermula daripada presiden, Najib yang juga perdana menteri.

"Kami berpendapat, adalah lebih baik presiden berundur untuk membolehkan Umno tidak menjadi mangsa keadaan dan dihukum pengundi pada pilihan raya yang akan datang.

"Kebimbangan utama kami ialah, kita perlu mempunyai pemimpin yang kuat untuk mengemudi Umno pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Kami tak yakin apa yang ada sekarang akan beri perkembangan positif dalam PRU akan datang," kata Kamarul pada satu sidang media di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini. Malaysia dijangka menghadapi PRU14 pada pertengahan 2018.


Tiga belas cawangan Umno itu ialah dari Kampung Linggi, Taman Selasih, Taman PD Utama, Taman Dato' Abdul Samad, Sua Betong, Kampung Teluk, Sungai Sekawang, Bukit Tembok, Taman Intan Duyung, Taman TKK, Kampung Pachitan, Bunga Raya dan Taman Poli.

Kamarul berkata, pemimpin cawangan itu tidak takut sekiranya sebarang tindakan diambil terhadap mereka kerana mereka di peringkat akar umbi yang meletakkan kepimpinan parti di kedudukan mereka sekarang.

"Kita perlu mengamalkan budaya yang parti itu lebih penting daripada individu dan dalam keadaan sekarang, parti itu lebih penting daripada presiden parti," katanya.

Beliau turut mengkategorikan ahli Umno sebagai terdiri daripada 3 jenis.

"Pertama, mereka yang senyap dan tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Kedua, mereka yang mendiamkan diri dan berjuang untuk perkara yang salah dan menjadi kaya.

"Dan ketiga, mereka yang berjuang untuk kebenaran dan tidak berakhir di mana-mana, seperti kami," katanya sambil menambah cawangan Umno lain di seluruh negara juga harus menyuarakan pandangan mereka.

Ditanya siapa yang mereka fikirkan sesuai menggantikan Najib sebagai presiden parti, Kamarul berkata mereka lebih suka jika tradisi dalam Umno dikekalkan, dengan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin meneruskan kepimpinan.

"Jika presiden ada masalah sekarang, dia perlu berundur dan pemimpin nombor dua mengambil alih. Kami tiada masalah dengan timbalan presiden," katanya.

Bagaimanapun, Kamarul berkata, tiada jaminan Umno akan menjadi lebih kuat walaupun Najib meletak jawatan.

Najib ketika ini menerima tekanan dari puak Umno yang tertentu kerana cara beliau mengendalikan kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan tindakan beliau memecat Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri Julai lalu.

Pemecatan Muhyiddin, orang kuat parti di Johor, walaupun kekal sebagai orang nombor dua Umno, menyebabkan beberapa pemimpin akar umbi di negeri itu meletak jawatan sebagai tanda protes.

Pada 12 Oktober, Muhyiddin dan beberapa pemimpin kanan Umno dan Barisan Nasional menyertai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengecam cara Putrajaya menangani pengkritik 1MDB dan menimbulkan kebimbangan berhubung keadaan dalam negara.

Di Parlimen, pembangkang mengemukakan usul mencadangkan undi tidak percaya terhadap Najib sebagai perdana menteri, ketika turut timbul ura-ura yang mereka akan mengundi untuk menolak Bajet 2016 yang dibentangkan beliau semalam dalam usaha menggulingkannya. – 24 Oktober, 2015.TMI

No comments:

Post a Comment