Thursday, October 1, 2015

Apabila dua orang yang saya kenali bergaduh

.
Apabila dua orang yang saya kenali bergaduh
SENYUM PAGI

Apakah Mahathir di belakang Shabudin?
 Shahbudin baik dengan Mahathir
Mulanya saya tidak ada hajat pun untuk menyentuh dan mengulas mengenai pertelingkahan dua orang yang saya kenal, Ahmad Zahid Hamidi dan Shahbudin Husin. Zahid adalah Timbalan Perdana Menteri, manakala Shahbudin hanya seorang penulis bebas atau bloger seperti saya.

Dua-dua saya kenal dan saya kawani sampai kini kecuali Zahid, sebab dia sudah jadi TPM.

Masa sebelum jadi ketua pemuda Umno Zahid pernah juga sampai ke laman flat saya, di Wangsa Maju dan begitu juga Shabudin selalu minum "teo O" di flat saya.

Cuma beza saya dengan Shahbudin dari konteks Zahid dan Umno, ialah Shahbudin seorang ahli Umno. Shahbudin pernah menjadi naib ketua Pemuda Umno bahagian Wangsa Maju, di mana diderah ini saya bermukim sejak lebih 30 tahun lalu.

Kenapa saya jadi teringin hendak komen mengenai "perbalahan" mereka berdua ialah apabila basen Zahid di Jakarta bernama Chairul Anhar ikut sama memberi penjelasan dalam membela Zahid. Menurut Chairul dia mengesahkan perbelanjaan perkahwinan anaknya dengan anak lelaki Zahid, pembiayaanya ditanggung semua olehnya.



Chairul seorang ahli perniagaan gade, jadi tentu dia punya banyak wang macam Ahmad Albab atau Sazali jugalah.

Menurut Chairul kenduri itu diadakan di sebuah hotel terkemuka di Jakarta pada 19 September lalu bersempena dengan lawatan Zahid ke Jakarta. Menurut Chairul, Zahid seorang yang bijak dan pandai menjaga masa. Kenduri itu diadakan sempena kunjungan ke Jakarta sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ertinya bukan Zahid yang menganjur mengambil kesempatan atas kedudukannya itu, melakukan dua kerja, sambil menyelam minum air, lawatan kerja dan rai anak kahwin. Tidak.

Jadi apabila mendengar basen Zahid itu menjelas mengenai pertikaiakan itu maka saya menjadi ringan tangan untuk mengetuk keyboard laptop buruk ini. Apa yang menjadi kemusykilan saya, kenapa sampai begitu sekali, sampai Chairul terpaksa menjawab bagi menjelaskan sangkaan tidak berasas ke atas Zahid. Apakah perlu mengambil reaksi demikian kalau pun ingin menjaga kekudusan diri basen (Zahid).

Zahid semua orang tahu seorang yang bersih, tidak pernah terlibat dengan rasuah. Tidak pernah disiasat oleh SPRM pun, dan kekayaan yang dimiliki kini juga hasil dari kerjanya sebagai seorang korporat. Zahid pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional (BSN) dan pernah juga menjadi Pengerusi Gerakan Bakti Pemuda Umno. (Betulkah?). Jadi kalau pun kenduri di Jakarta itu besar dan hebat, tidak perlu mempersoalkan dimana sumber kewangannya? Perkara ini tidak pun pelik.

Sebenarnya saya juga diberikan maklumat tentang majlis perkahwinan anak Zahid itu. Siap dengan gambar kad jemputan lagi. Tetapi bagi saya tidak ada isu di sebalik perkahwinan dan majlis itu. Itu hak Zahid dan sesiapa juga. Maka saya tidak membuat apa-apa catatan walaupun ada SMS dari orang yang hantar gambar itu menulis; "Ti kau belasah sikit Zahid ni.."

Saya tidak membaca penuh tulisan Shahbudin yang bertanya Zahid kenapa kenduri itu diadakan serentak dengan kunjungan ke Jakarta. Tetapi saya faham, Shabudin tidak melakukan apa-apa kesalahan, hanya memimbul persoalan negatif, apakah begitu dan begini. Jauh sekali kalau Shahbudin ingin memberi gambaran Zahid sudah melakukan penyelewengan.

Sebagai seorang penulis, Shabuddin ada tanggungjawab sosial. Dia berhak bertanya begitu, bukan sahaja kepada Zahid tetapi kepada orang lain juga. Seorang penulis perlu sensitif dan berfikiran kritikal. Kalau penulis juga berfikir dan berpandangan sama dengan orang biasa, maka tidak ada konterversilah dunia ini.

Cerita itu tidak menjadi besar dan bergema kalau Shahbudin tidak dipanggil oleh SKMM dan menyoal siasatnya selama dua jam. Saya tidak mendapat maklumat daripada Shahbudin apa yang disoal oleh SKMM itu. Tetapi saya percaya ia terarah kepada mencari maklumat siapakah yang menyuruh Shahbudin menulis (menyoal, pertikaian) demikian. SKMM ingin mengetahui siapa berada di belakang Shabuddin. Itu lebih penting rasanya.

SKMM pula berkebetulan mendapat menteri baru yang kemabukan mencanak untuk naik ke atas. Menteri baru itu tentu ingin menunjukkan dia bekerja untuk semua orang, maksudnya PM dan TPM. Masa depannya harus ada dalam genggaman kedua orang ini. Jadi Zahid adalah TPM, maka kedudukan dan pengawasan diri TPM harus dilakukan seperti mengawasi dan menjaga kepentingan PM. Jadi sebelum batuk Zahid berbunyi menteri SKMM harus berlari ke kedai ubat.

Panggilan dan siasatan ke atas Shahbuddin itu pun tidak perlu dan hanya dilakukan oleh orang yang kuat membodek dan ingin mencari nilai tambah. Atau mengharap akan ada panggilan telefon mengucapkan, terima kasih Datuk. Atau untuk memberi tahu dia seorang yang kuat bekerja dan taat setia yang tinggi. Itu sahaja.

Terus terang saya kata, saya bimbang kalau orang macam Zahid ditakdir menjadi PM di negara ini. Bukan soal korup (saya kira dia tidak korup sebab dia seorang Islam yang wajib bersih), tetapi bimbang mengenai perangai dan telatahnya. Ada kalanya kenyataan-kenyataan Zahid tidak menggambarkan ia keluar dari minda seorang orang nombor dua negara. Zahid bercakap macam dia berada di Bagan Datuh sahaja, penuh joker dan humor Jawa.

Zahid bercakap kadang-kadang seakan dia tidak perasaan yang dia TPM, dimana setiap kata-kata harus berkualiti dan boleh dipertanggunjawabkan.  Kenyatan dan ulasan seorang TPM haruslah menjadi keyakinan dan pegangan rakyat. Ia perlu kepada satu kenyatana dan sikap penuh berwibawaa. Dia patut sedar kalau jadi apa-apa kepada Najib dialah yang akan jadi perdana menteri.

Saya ambil contoh sikap Zahid yang suka sangat membuat dan mengeluaran amaran demi amaran. Berpolitik dengan cara ugut itu sudah tidak sesuai dizaman ini. Ugutan dan amaran hanya boleh dilakukan kepada kanak-kanak Tadika atau Pasti sahaja, tetapi bukan kepada generasi hari ini yang sudah arif dengan perundangan dan segala-galanya.

Apabila kita membuat kenyataan atau mengeluarkan amaran keras, orang akan perhati apakah kita laksanakan atau pun tidak. Kalau arahan itu berlalu begitu sahaja, tanpa ada aksi orang tidak peduli dan takut, bererti suara dan air liur kita tidak dipedulikan oleh sesiapa. Keadaan ini menyebabkan jawatan kita sebagai TPM hanya akan diketawakan orang. Jadilah jawatan itu sebagai watak Wak Yah dan Samad dalam wayang kulit.

Pendektan yang perlu dilakukan Zahid ialah bukan ugut tetapi menasihat disamping memberi taufik dan hidayah kepada mana-mana pihak yang dianggap mengacanm dirinya atau pun mengancam keselamatan negara. Kausa yang ada kepadanya selaku menteri KDN, seharusnya digunakan setelah semua jalan lain dilakukan gagal. Kuasa sebagai menteri itu adalah kuasa terakhir.

Cara begitulah baru dikatakan bijaksana dan berhemah. Jangan hulurkan parang kepada orang, kalau lidah kita masih mampu mengajak untuk berdamai dan memberi nasihat. Islam itu sendiri al nasihah, bukan ugutan atau ancam.

Ingat dalam hidup ini tidak ada siapa yang penakut dan tidak ada siapa yang berani. Seorang yang berani tiak akan ditakuti oleh sesiap apun. Yang kita patut ada, bukan ditakuti dengan kuasa yang ada, tetapi kita disanjungi dan dihormati dengan budi dan kehemahan kita. Itu yang Tuhan suruh. Sebab itu Tuhan mengajar kita berbuat baik, bukan berbuat jahat. Memberi amaran menunjukkan "gedebe", itu bukan berbuat baik, itu berbuat jahat.

Dalam kes Shahbudin itu, Zahid sepatutnya mendiamkan diri sahaja. Tidak perlu pun dia mengingatkan orang membuat fitnah masuk neraka atau dia adalah syaitan. Shahbuddin bukan syaitan dia masih orang yang ada tanggungjawab sosial. Dia juga masih tahu batas hitam dan putih dalam kehidupan. Dia bertanya, tidak salah, sebab Tuhan pun mengajar Muhmamad bertanya apa yang dia tidak tahu. Tuhan menurunkan Jibrail kepada Muhammad adalah untuk ditanyai akan keilmuan-keilmuanNya.

Sebaik tindakan diambil oleh Zahid mengenai pertanyaan Shahbudin itu adalah dengan mendiamkan diri. Bila Zahid melenting, mara-pmarah sampai memberi ingtan soal syurga dan neraka dan basen pula menjawab, maka akan mula tumbuh dan berkembanganlah persepsi umum bahawa Zahid mungkin ada menggunakan sedikit wang untuk kenduri anaknya itu. Kalau tidak masakan dia melenting macam guli kaca jatuh ke simen. Ting ting ting....

Sebab orang yang waras tidak akan mudah menerima pengakuan dan penjelasan Zahid itu, kerana kedudukan beliau sebagai TPM itu bukan sahaja penuh glamour tetapi ia penuh dengan kesempatan dan peluang yang boleh diambil. Semoga pertelingkahan dengan Shahbuddin yang sudah lama dikenali itu akan memberi sedikit pengajaran dan ilmu buat Zahid untuk dimasa akan datang juga sebagai persiapan untuk menjadi PM, mana tahu. [wm.kl.10:05 am 02/10/15]

No comments:

Post a Comment