Sunday, October 4, 2015

Sedapnya Ayam Goreng Berempah Seri Bayu!

AMIE'S LITTLE KITCHEN
Sedapnya Ayam Goreng Berempah Seri Bayu!
Selamat petang pengunjung Amie's Little Kitchen yang budiman. Terima kasih pada yang sudi menjadi pengikut baru. 
Sekarang pukul 4.41 petang, baru berkesempatan mengintai dapur maya ini. Hari ini langit agak cerah tapi lepas makan tengahari nampak mendung pula. 
Apa cerita sekarang?
Jerebu yang masih belum reda?
Jemaah haji yang beransur pulang ke tanah air... didoakan semua jemaah haji dari seluruh dunia kembali ke pangkuan keluarga dengan selamatnya, dan mudah-mudahan mendapat haji yang mabrur! In shaa Allah... amin.
Wokeh!
Kita cerita tentang resepi hari ini.

Amie buat Ayam Goreng Berempah Seri Bayu. Saja tambah hujungnya tu perkataan Seri Bayu mewakili negeri Sabah he heee.... sebab diolah di Negeri di Bawah Bayu kononnya! Sebenarnya Amie teringat keenakan ayam goreng yang dihidangkan bersama nasi lemak ketika Amie menghadiri satu mesyuarat di JPN di Kota Kinabalu, entah tahun berapa.... mungkin 2004 atau 2005, tak ingat dah! Yang Amie ingat, sudah semestinyalah keenakan ayam goreng yang memang Amie tidak tahu resepi apa namanya! Amie lihat, banyak serdak serai dan daun pandan pula terletak elok di bawah ayam goreng. Daun pandannya pun digoreng juga! Beberapa ketul jugalah Amie makan ayam goreng yang tersangatlah sedapnya itu!
Jadi, kebetulannya pagi tadi Encik Suami beli banyak ayam segar... ada ayam bulat, kepak ayam, kaki ayam, peha ayam....! Kita pun gorenglah 9 potongan peha ayam. Goreng berempahlah kononnya. Cerita pasal goreng berempah ni ada pelbagai versinya. Ada yang bubuh daun kari, serbuk kari dan mcam-macam lagilah. Terpulanglah ikut selera masing-masing. Seperti biasa Amie perap peha ayam dengan rempah-rempahan kisar, dan Amie siat-siatkan daun pandan. Amie perap selama 3 jam dalam peti sejuk. Kemudian, Amie goreng peha ayam tadi sekali dengan bahan pemerapnya termasuklah daun pandannya juga!
Mmmmm... semerbak aroma ayam goreng berempah! Fairuz menerpa ke dapur... dan bila terlihat peha ayam sedang digoreng terus dia kata: Cepatlah sikit masak Mommy! Saya dah tak tahan lapar ni.
Amie sahut: Tolong kemas meja boleh?
Jawab Fairuz dengan syarat : Nanti boleh tak saya makan tiga ketul ayam goreng?
Amie kata : Boleh.
Bukan meja saja yang Fairuz kemas, siap dimop sekali lantai dapur. Kemudian dia bersihkan peti sejuk.... sejuk hati kita dibuatnya!




Jom kita lihat resepi Ayam Goreng Berempah Seri Bayu di bawah ini.

Bahan-bahan:
9 bahagian peha ayam - dikelar sedikit
garam & perasa pilihan secukupnya
3 helai daun pandan - siat-siat dan potong 3 bahagian
minyak

Bahan kisar:
5 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 batang serai - hiris serong sepanjang 1/2 cm
3 cm lengkuas
3 cm halia
3 cm kunyit hidup
1 sudu kecil jintan manis
1 sudu kecil jintan putih
1 sudu besar ketumbar

Cara:
1. Campurkan peha ayam bersama bahan kisar, garam dan perasa pilihan serta daun pandan. Simpan dalam peti sejuk selama 3 jam.
2. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam. Goreng peha ayam yang diperap tadi bersama bahan pemerap dan juga daun pandan.
3. Apabila peha ayam berwarna kuning keemasan ataupun telah masak, angkat dan toskan minyaknya.

Komen Encik Suami:
Isi ayam goreng lembut, berjus!
Owh... habis semua serdak berempah! 
Jangan sampai termakan daun pandannya pula....ahaks!

No comments:

Post a Comment