Wednesday, September 23, 2015

[HAJI UMRAH BAHAN BANGGA DIRI] Haji Selfie bin Ujub Bongkak

CELAH GELEGAR
[HAJI UMRAH BAHAN BANGGA DIRI] Haji Selfie bin Ujub Bongkak

"Selfie” bukan hanya budaya berfoto narsisistik yang menunjuk-nunjuk, ia sudah menjalar dan menular ke dalam ibadat haji dan umrah. 

Gejala berselfie di hadapan Kabah atau makam Nabi Muhammad memaparkan gejala serupa, berlumba-lumba menonjolkan diri di hadapan awam secara narsisistik. 

Pada hari ini pandemik selfie – suatu budaya dalam abad rangkaian dan rantaian – sedang menular di kedua-dua kota suci Mekah dan Madinah. 

Selfie berlebihan mungkin membawa kepada sifat ujub dan bongkak yang tentunya tidak menunjukkan semangat dan roh mengerjakan haji dalam memperlihatkan sifat kerendahan diri dan penghambaan kita kepada Allah. 

Berselfie juga dapat disebut sebagai "simulakra". 

Simulakra adalah dunia di mana kontruksi-konstruksi kebenaran yang bersifat fiktif dan retorik, mengambil alih kebenaran yang sebenarnya. 

Kebenaran hakiki yang dimaksudkan ialah hanya memahami dan menghayati objektif dan falsafah haji. 

Kita juga tidak mahu jemaah haji membangunkan bentuk haji simulacra, di mana pengerjaan ibadat haji lebih banyak bersifat citra, retorika,visual daripada kebenaran. 

Simulakra dibangun oleh unsur-unsur seperti permainan imej atau citra yang akan membawa kepada pengelabuan maklumat dan kebenaran. 

Ia akan menjadi sekadar kebenaran di pentas visual dan bukan kebenaran di hati dengan niat hanya kepada Allah dan dalam menunaikan rukun Islam kelima. 


Maka di manakah Haji Mabrur umpamanya? Penumpuan yang berlebihan kepada visual, iaitu kepada berselfie akan menjadikan jemaah hilang fokus ubudiah dan kerendahan diri kepada Allah. 

Ia akan terkeluar daripada matlamat mengerjakan ibadat haji ke baitullah. 

Akhirnya selfie berlebihan itu akan menghidupkan sifat kepura-puraan, topeng dan “make-up” merupakan watak khas simulakra. 

Apa yang dimaksudkan ialah lahirlah bentuk-bentuk fizikal di layar visual iaitu pemaparan bergaya dengan jubah yang menarik, serban yang kelihatan warak, latar tempat di belakang Kabah, Masjidil Haram, Masjid Nabawi atau padang Arafah. 

Ia menjadi sebahagian nyata yang merepresentasikan simulakra haji, di mana akhirnya kenyataan dan ilusi akan sukar dibezakan. 

Ketidakpedulian justeru menjadi sebahagian dari sifat yang mementingkan diri sendiri dengan memuaskan nafsu yang nasisistik. 

Maka di manakah wajah kesakralan dan kesucian Mekah sebagai tempat suci apabila jemaah berselfie. 

Ini kerana dalam mengerjakan ibadat setiap perkara adalah ibadah dan kesucian dan jika amalan selfie sentiasa dilakukan, ibadat haji kita lebih bertumpu kepada kerja-kerja menunjuk-nunjuk yang menaikkan ego dan menujukan sifat takjub pula. 

Ia sudah menjadi teknologi digital narsisisme di Mekah dan Madinah. 

Jemaah akan menjadi ibadat haji sebagai suatu perjalanan epik selfie pula. 

Ini kerana niat mengerjakan ibadat haji ialah untuk berselfie di tanah suci. 

Akhirnya apabila kembali ke tanah air kita hanya mendapat gelaran Haji Selfie. 

Harap di jauhkan Allah. 

Ismail Hashim Yahaya


* Penulis adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Industri Selangor (Unisel), Kampus Shah Alam.

No comments:

Post a Comment