CELAH GELEGAR
[ISU RUMAH PELACURAN] Abu Ali Omar GUNA HUJAH Dr. Maza Agar Fikirkan Kembali Kenyataan SAIFUL NANG, jangan maki hamun
Mufti Perlis, Dr. Maza pernah menyatakan bahawa menasihati pemerintah dalam urusan peribadi ataupun keaiban peribadi sepatutnya hendaklah secara tertutup..bukan sahaja pemerintah, tetapi sesiapa sahaja..kita dilarang membuka aib peribadi orang lain..
Namun dalam urusan awam yang menjadi kemaslahatan rakyat, boleh kita membantah kemunkaran pemerintah secara terbuka..tanpa memaki hamun, tetapi tegas dan hikmah..
Itulah yang berlaku dalam sejarah umat Islam sejak zaman salaf..kekeliruan berlaku apabila ada yang melampau sehingga mencerca keaiban peribadi orang atas pentas politik..ada pula yang kata langsung tidak boleh bahas isu awam yang membabitkan pemerintah secara terbuka..antara dua kemelampauan, pilihlah kesederhanaan Islam.
Dalam kes Saiful Nang, jika kita baca keseluruhan kenyataan beliau, maka kita pasti boleh memahami hasrat dan inti pati subjek yang cuba diterangkan oleh Saiful Nang.
Beliau sebenarnya hendak menegur pemerintah yang memerintah Tanah Haram. Sudah tentu sebagai seorang Islam beliau tidak akan sanggup menghina tempat yang menjadi kiblat dalam setiap sembahyang yang beliau kerjakan.
Berkaitan hujah tidak boleh menegur pemimpin secara terbuka. Banyak hadits-hadits yang digunakan oleh mereka yang menyokongnya. Antaranya:
1. "Barangsiapa yang ingin menasihati sultan (pemerintah) maka janganlah dilakukan secara terang-terangan (terbuka) tetapi hendaklah dia duduk berdua dengannya dan mendekatinya maka sekiranya dia menerima nasihatnya itu maka itulah (yang terbaik) tetapi sekiranya enggan maka dia telah laksanakan tanggungjawabnya."
2. Dalam hadis sahih yang lain Rasulullah s.a.w telah bersabda maksudnya, "Maafkanlah kesalahan-kesalahan orang-orang kenamaan dari kalangan kamu." (Hadits riwayat Ahmad dan Abu Daud)
3. "Akan berlaku selepas peninggalanku nanti para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku, tidak mengikut sunnahku dengan panduan sunnahku. Akan muncul pula di kalangan kamu orang-orang yang hatinya adalah hati syaitan (manusia berhati syaitan). Aku (Huzaifah) bertanya: Apakah harus aku lakukan jika aku menemuinya? Baginda bersabda: Hendaklah kamu mendengar dan taat kepada pemimpin walaupun dia memukul punggungmu dan merampas harta-bendamu." (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Mereka itu sebenarnya lupa bahawa hadits-hadits di atas menyebut tentang ADAB menegur pemimpin, dan bukannya MENGHARAMKAN kaedah menegur yang selain itu.
Memang kita dilarang keluar membawa senjata untuk menentang kerajaan. Jika kita keluar membawa senjata, ianya seumpama puak Khawarij yang keluar menentang pemerintahan khilafah dulu. Apatah lagi, kesilapan Khawarij dulu ialah menentang khilafah yang MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM.
Dalam memperkatakan mengenai teguran kepada pemerintah, kita jangan lupa kepada hadith-hadith yang lain yang berkaitan, umpamanya:
1. "Jihad yang paling utama ialah berkata benar di hadapan pemimpin yang menyeleweng." (Hadits riwayat Tirmizi dan Abu Daud - Hadits hasan)
2. “Agama adalah nasihat. Kami (sahabat) bertanya: Kepada siapa? Berkata Rasulullah: Kepada Allah dan kepada kitabNya serta RasulNya dan juga para pemimpin orang Islam dan semua umat Islam.”(Hadits Riwayat Muslim)
3. Dari Abu Said Al-Khudri: "Barangsiapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu dengan lidahnya, jika tidak mampu dengan hatinya, itulah selemah-lemah iman." (Hadits riwayat Muslim)
4. Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan demikian, demi Allah, nescayalah engkau semua itu wajib memerintahkan kebaikan, melarang dari kemungkaran, mengambil tangan orang yang zalim (yakni menghentikan kezalimannya) serta mengembalikannya atas kebenaran yang sesungguhnya, juga membasmi tindakannya kepada yang hak saja dengan pembatasan yang sesungguh-sungguhnya. Atau jikalau semua itu tidak dilakukan, maka nescayalah Allah akan memukulkan (membencikan) hati setengahmu terhadap setengahnya kemudian melaknati engkau semua sebagaimana Dia mengutuk mereka (Bani Israil).” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan).
4. Nabi s.a.w. bersabda: “Jangan demikian, demi Allah, nescayalah engkau semua itu wajib memerintahkan kebaikan, melarang dari kemungkaran, mengambil tangan orang yang zalim (yakni menghentikan kezalimannya) serta mengembalikannya atas kebenaran yang sesungguhnya, juga membasmi tindakannya kepada yang hak saja dengan pembatasan yang sesungguh-sungguhnya. Atau jikalau semua itu tidak dilakukan, maka nescayalah Allah akan memukulkan (membencikan) hati setengahmu terhadap setengahnya kemudian melaknati engkau semua sebagaimana Dia mengutuk mereka (Bani Israil).” (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan).
5. "Setiap muslim dituntut mendengar dan mentaati pemimpin dalam perkara yang mereka suka ataupun benci melainkan jika disuruh melakukan maksiat. Pada masa ini tidak ada lagi tuntutan supaya mendengar dan taat." (Hadits Riwayat Muslim)
Imam Nawawi menyatakan: “Dan makna hadis ini adalah, jangan kamu menentang kekuasaan ulil amri (pemimpin) dan janganlah kamu membangkang melainkan apabila kamu melihat kemungkaran yang nyata daripada mereka, yang kamu ketahui bahawa perkara tersebut termasuk tunjang-tunjang Islam (min qowaa’idil Islaam). Apabila kamu melihat seperti itu, maka ingkarilah dan sampaikanlah yang benar di mana pun kamu berada. Adapun memisahkan diri keluar dari ketaatan kepadanya dan memusuhi (atau memerangi) mereka, adalah haram berdasarkan ijma’ muslimin (umat Islam), walaupun pemimpin tersebut termasuk orang-orang yang fasiq lagi zalim.” (Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari, 13/8).
Aisyah berkata: "Seorang wanita dalam suku Makhzum pernah meminjam barang, namun dia mengingkarinya. Lalu Nabi S.A.W memerintahkan memotong tangannya. Keluarga wanita itu mendatangi Usamah bin Zaid untuk memohon pengecualian kepada Nabi. Lalu Usamah membicarakan hal itu kepada Nabi. Mendengar hal, itu Nabi bersabda: ”Wahai Usamah, aku tidak ingin melihatmu memintakan pengecualian berkenaan hukum had yang telah ditetapkan Allah S.W.T.” Setelah itu Nabi berdiri dan berkhutbah: ”Sesungguhnya kebinasaan orang sebelum kalian dulu adalah membiarkan orang mulia yang mencuri tanpa dijatuhi hukuman. Sedangkan jika ada golongan lemah yang mencuri, maka dia dijatuhi hukuman potong tangan. Demi Allah, seandainya Fatimah mencuri, pasti ku potong tangannya.” Lalu tangan wanita Makhzum itu dipotong." (Hadits riwayat Bukhari dan Muslim)
Sedangkan anak nabi sendiri jika melakukan kejahatan, maka akan dijatuhkan hukuman, apatah lagi pemimpin zaman sekarang. Adakah pemimpin boleh lakukan apa saja tanpa dibantah dan ditegur? Jangan sampai kita melihat hadits nabi membiarkan pemimpin berbuat apa saja sesuka hati mereka. Pemimpin boleh mengambil kesempatan untuk berbuat apa saja jika hadits berkenaan menegur pemimpin itu salah ditafsirkan.
Imam Nawawi dulu pernah bangkit memberi amaran kepada pemerintah. Begitu juga ramai lagi ulama besar lain. Maka adakah mereka berdosa melakukan sedemikian?
Imam Nawawi dulu pernah bangkit memberi amaran kepada pemerintah. Begitu juga ramai lagi ulama besar lain. Maka adakah mereka berdosa melakukan sedemikian?
Hukum Allah wajib dilaksanakan ke atas semua, termasuklah pemimpin. Hukum-hakam dalam Islam bukan hanya untuk rakyat sahaja tetapi juga ke atas pemimpin. Ini yang perlu kita faham dengan sebaiknya.
“Tidak ada ketaatan terhadap seseorang dalam mendurhakai Allah Yang Suci dan Maha Luhur.” (Hadits riwayat Imam Ahmad)
Kesimpulan
Ramai daripada kita yang mencaci maki Saiful Nang tanpa usul periksa. Mereka mengambil kesempatan ini demi melempiaskan nafsu amarah mereka tanpa bersandarkan kepada Al-Quran dan hadith.
JIka diteliti dengan jitu, teguran Saiful Nang adalah kepada pemerintah, dan bukan untuk menghina kota suci Islam itu.
Hujah yang menyatakan Saiful Nang sepatutnya pergi memaklumkan kepada pemerintah di sana jika tahu tentang kemungkaran tersebut adalah tidak munasabah dan tidak praktikal. Kita akan sedar jika kita tahu siapa pemerintah di sana dan darjah ketinggian kekuasaan dan kemewahan mereka.
Semoga kita tidak mudah melatah dan membuat dosa caci maki kononya demi Islam.
Walallahhuaklam.
- Abu Ali Omar
No comments:
Post a Comment