CELAH GELEGAR
[TOLONG SAMPAIKAN KEPADA DUTA CHINA JAGA PETALING STREET] Siri penindasan Muslim Uighur oleh Kerajaan China
Sejarah bagaimana Muslim Uighur menjadi sebahagian daripada China
SEKALI pandang, perwatakannya tidak seperti etnik Han; etnik majoriti China yang bermata sepet apatah lagi bahasa pertuturannya yang lain daripada Mandarin. Itulah etnik Uighur yang rata-ratanya menggunakan bahasa Turki dalam pertuturan dan menulis dengan menggunakan huruf Arab.
Mereka tinggal di wilayah yang digelar ‘’Timur Turkistan’’ dan dianggap sebagai ‘’hati’’ Asia kerana kedudukannya yang strategik di antara Barat dan Timur. Timur Turkistan bersempadan dengan 9 buah negara iaitu China, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan, Afghanistan, Pakistan, Mongolia, Rusia, dan India.
Pada abad ke Sembilan, etnik Uighur telah menerima Islam semasa pemerintahan Raja Karahanidin dan pusat pemerintahan ketika itu ialah Kashgar yang kemudian telah menjadi pusat penyebaran Islam, kesenian dan kebudayaan Islam, lahir ratusan ulama serta penciptaan ribuan karya hebat.
Kegemilangan Khilafah Islam ini diteruskan oleh Kerajaan Seyyid atau Yarkent namun, jatuh apabila Empayar Manchu telah menawan Timur Turkistan pada 1759 dan dijajah sehingga tahun 1862. Setelah 42 peperangan telah berlaku, Empayar Manchu telah mengundurkan diri dan sekali lagi khilafah Islam tertegak dengan kerajaan baru; negara Yetteshehar pada tahun 1864.
Namun, ianya tidak kekal lama apabila Empayar Manchu mencerobohnya semula pada tahun 1876 dan setelah 8 kali peperangan berdarah tercetus, Timur Turkistan ditawan keseluruhannya dan ditukarkan namanya ke ‘’Xinjiang’’ yang bermaksud ‘’Wilayah Baru’’ pada 18 November 1884.
Selepas itu, peluang untuk khilafah Islam menyinar semula telah ditenggelamkan oleh Nasionalis China yang telah menjatuhkan Empayar Manchu pada tahun 1911 dam secara automatik menguasai keseluruhan wilayah yang ditakhluk oleh Empayar Manchu. Pada ketika itu, kawalan China ke atas Timur Turkistan agak longgar dan kesempatan ini telah digunakan oleh Muslim Uighur untuk bebas dari cengkaman China hingga tertubuhnya Republik Timur Turkistan (ETR) setelah dua kali penentangan berlaku pada tahun 1933 dan 1944.
China yang tidak berdiam diri, telah melancarkan pencerobohan tentera dan dalam masa yang sama Soviet Union telah melakukan tipu daya politik ke atas Timur Turkistan lalu,republik ini berakhir apabila People’s Liberation Army (PLA) telah merusuh di Timur Turkistan pada tahun 1949 hingga tertubuhnya Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR).
Sejak itu, pelbagai tragedi hitam telah berlaku di Timur Turkistan dengan diikuti kempen-kempen yang kejam ke atas Muslim Uighur namun, semangat mereka tidak pernah luntur dan sentiasa mengingatkan generasi mereka akan perjuangan mereka dalam menentang kezaliman China.
Kini populasi Muslim Uighur telah melebihi 20 juta orang namun semakin tenggelam akibat imigran Han yang membanjiri wilayah tersebut dan meningkat saban tahun. Tindakan China ini boleh disamakan dengan penjajahan Israel ke atas Palestin dan kekejaman Burma ke atas Muslim Rohingya. Kisah penganiayaan Muslim Uighur bukanlah kisah baru kerana media telah lama mengikuti kisah mereka namun, disebabkan polisi China yang ketat ke atas media massanya, kisah mereka tidak banyak dipaparkan oleh mana-mana pihak.
Siri penindasan Muslim Uighur
Berikut merupakan antara usaha kerajaan China yang menindas Muslim Uighur di Xinjiang:
1) Pada bulan Ramadhan, setiap kakitangan, guru dan pelajar tidak dibenarkan untuk berpuasa dan menjalankan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan bulan suci ini.
2) Muslim Uighur tidak dibenarkan untuk memakai tudung, membela janggut, memakai lambang bulan sabit dan bintang di pakaian atau pengangkutan awam.
3) Di Kashgar, Xinjiang (sebuah kota purba di Jalan Sutera) pula China telah melancarkan kempen ‘’Beauty Project’’ iaitu mempromosi masyarakat Uighur untuk menonjolkan kecantikan mereka tetapi, sebenarnya mahu mereka meninggalkan suruhan agama – menutup aurat.
4) Kadang-kadang Muslim Uighur juga menghadapai kesukaran untuk mendapatkan passport terutama ketika ingin menunaikan haji.
5) Penghapusan kota purba Kashgar yang menyimpan banyak sejarah,kebudayaan dan kebanggaan etnik Uighur oleh China dengan memindahkan penduduknya ke bangunan baru serta berselindung di sebalik alasan langkah berjaga untuk menghadapi gempa bumi.
6) Penggunaan Bahasa Turki tidak dibenarkan di mana-mana universiti.
7) Kerajaan China yang menentukan imam, bahan ceramah dalam aktiviti keagamaan, tempat untuk diadakan segala aktiviti keagamaan dan versi Al-Quran yang digunakan.
8) Di sekolah, para pelajar tidak dibenarkan menyambut sebarang perayaan agama, memakai pakaian yang melambangkan agama dan belajar pendidikan agama.
Nurul Fitrah Abdullah
Artikel ini telah disiarkan dalam laman web focuss.my.
-Ismaweb
No comments:
Post a Comment